Thursday, September 17, 2015

Hari Ini Aku Sebahagian dari Sejarah : Himpunan Maruah Melayu 16 September 2015

Aku mengaku ada tikanya semasa berarak ke Perhimpunan Maruah Melayu semalam aku dilanda sebak yang teramat, adakala sehingga bercucuran airmata mencampuri keringat dek bahang matahari. Setiap langkah diambil mengingatkan aku akan perjuangan datuk nenek kita untuk mendapatkan kemerdekaan, betapa mereka dalam serba kekurangan di zaman itu sanggup melakukan apa saja untuk kesejahteraan anak cucu mereka. Kini, kita telah lebih setengah abad menikmati hasil  perjuangan tersebut, dan ada masanya kita juga alpa dari asas perjuangan mereka. Kita terlalu selesa dengan kesenangan dan keamanan yang kita miliki selama ini, kita angkuh yang semua ini adalah hak kita sejak azali. Kita lupa bakti usaha, darah dan keringat mereka dalam perjuangan yang kini hanya dikenang dalam lipatan sejarah, kita terlalu asyik dengan kesenangan. Kini semua ini bagai telur dihujung tanduk, kita dicabar, dikeji, dihina, pemikiran kita cuba diubah supaya sebahagian kita malu untuk mengaku kita adalah orang Melayu. 

Inilah masa kita. Kita juga perlu bangun untuk mempertahankan segalanya, kita mesti memastikan hasil perjuangan datuk nenek kita akan terus dapat dinikmati anak cucu Melayu yang kekal beragama Islam selagi ada Melayu di di muka bumi ini.
Perarakan dari PWTC didahulukankan dengan bacaan doa setelah selesai solat Zohor dan solat hajat. Sambil bergandingan tangan dan bahu, bendera dijulang dan sepanduk dijunjung, kami bergerak menghala ke Padang Merbok di bawah sinaran matahari terik, namun bahangnya hampir tidak terasa kerana semangat yang membara di dalam jiwa mengatasi segalanya. Cuaca agak cerah disulami redup bila awan berarak, keadaan berjerebu yang agak teruk melanda negara sejak seminggu lepas tiba tiba hilang sejak awal pagi, membuatkan perjalanan lancar penuh patriotisme. Laungan "Allahu Akbar" dan "Hidup Melayu" membuatkan semangat penyatuan serta nawaitu untuk membela maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air sebegitu membara, ratusan ribu turun tanpa mengira darjat atau umur, tidak juga berharapkan sebarang imbuhan, semuanya di situ demi masa depan generasi akan datang.
kerdilnya aku di antara ratusan ribu pejuang lain.
Aku bangga aku antara mereka yang memerahkan secara aman bandar Kuala Lumpur dalam perhimpunan penyatuan Melayu terbesar semenjak tahun 1946 dan aku berarak sambil menjulang panji panjiku, Jalur Gemilang.

Demi Islam. Demi Melayu. Demi Malaysia.

Tanah tumpah darahku. Sentiasa dalam jiwaku. Kedaulatannya kuperjuangankan ke titisan darah terakhir.

No comments: